-->

Tiba-Tiba !

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم .



Saya pernah memandu kereta bersama keluarga, tiba-tiba sebuah motorsikal terjatuh lalu melanggar pintu kereta saya. Memang terkejut kerana secara tiba-tiba keadaan yang pada asalnya santai-santai berbual dengan keluarga di dalam kereta, bertukar menjadi ngeri sekelip mata.

Saya juga pernah secara tiba-tiba dikunjungi oleh keluarga dari kampung tanpa pemberitahuan awal. Terkejut tiba-tiba sudah berada di pagar rumah. Rumah belum berkemas. Tak sempat nak buat apa-apa. Cuba bayangkan apa perasaan saya. Malu dan resah datang menyerang perasaan.

Pernah juga semasa remaja dulu sedang menunggang motorsikal, tiba-tiba sahaja saya terlanggar sesuatu. Blanked sekejap kepala saya. Sedar-sedar saya sudah ada atas tanah dengan fering motor pecah, handle patah, fork lari dan lain-lain kerosakan. Cuai! Masa tu dah tak guna nak berkalau itu kalau ini lagi. Dah terjadi. Masa dah tak boleh nak patah balik. Sakit dapat, rugi pun dapat!

Memang menyentak hati dan jiwa apabila sesuatu yang tidak dijangka datang secara tiba-tiba. Datang rasa yang bermacam-macam dalam keadaan tidak boleh berbuat apa-apa. Apatah lagi jika natijahnya negatif, rosak, malu, sakit dan rugi seperti situasi yang saya sebut di atas.

Mulalah datang dalam fikiran, kalaulah aku buat begini dan begitu, tentulah ia tidak terjadi. Sangat tidak bagus perasaan sebegitu. Berkalau-kalau dan berjika-jika yang datang dari penyesalan ialah sikap yang perlu dijauhi oleh semua, terutama Muslim.

Saya mula terfikir…

Bagaimana agaknya jika tiba-tiba yang melanggar saya bukan motorsikal, tetapi yang melanggar saya ialah Maut. Lalu memisahkan saya dari kegembiraan bersama keluarga! Tak tergambar betapa dahsyatnya perasaan itu!

Bagaimana pula jika yang mengunjungi saya secara tiba-tiba itu bukannya keluarga di kampung, tetapi si Malaikat Maut! Tiba-tiba sahaja dia mengetuk pintu rumah untuk mencabut nyawa saya tanpa sempat berbuat apa-apa persediaan! Tentu terlampau dahsyat jantung berdebar bagai nak pecah!

Dan agaknya bagaimanalah jika bukannya tiba-tiba terjatuh ke atas tanah akibat cuai bermotorsikal, tetapi yang berlaku ialah tiba-tiba mati dan terjatuh dalam kemurkaan ALLAH akibat cuai dalam kehidupan! Tentu tak terbanding rasa sakit dan rugi!

Tiba-tiba sahaja kita tidak lagi di dalam jasad. Sedar-sedar sahaja kita sudah berada di alam lain iaitu di alam barzakh!

Semasa itu, tiada lagi U-turn, tiada lagi butang Undo, tiada lagi boleh diperbaiki kerosakan, tidak sempat lagi nak buat apa-apa, bahkan semua alasan pun tidak lagi laku. Tiada siapa yang dapat menjamin dan membantu, melainkan hanya amalan menjadi sebab penentu.

Dahsyat!

Saya dan anda tidak tahu bila dan bagaimana cara mati kita. Mungkinkah kita sakit lalu sempat bersiap sedia menghadapi kematian. Atau mungkinkah kematian itu datang secara tiba-tiba. Atau bagaimana?

Semua kita mengharapkan agar kita mati dalam keadaan husnul-khatimah iaitu mati dalam keadaan yang baik dan diredhai ALLAH. Setiap hari kita berdoa kepada ALLAH untuk mendapatkannya.

Semoga ALLAH melindungi kita dari mati yang secara tiba-tiba ketika dalam leka dan bermaksiat. Dan semoga ALLAH meluruskan kita semua di atas jalanNYA dan menjadikan kita antara hambaNYA yang sentiasa ingat dan bersiap sedia menghadapi mati. Dan semoga kita semua mati dalam keadaan yang diredhai ALLAH, amin…

Bersiap sedialah, sebelum mati datang tiba-tiba!


SUMBER: Muzir

0 Kata-Kata Sayang:

Previuos Entry